Ini adalah selitan kisah-kisah bersama-sama dengan mak-mak dan bapa saudara apabila kami pergi menziarahi mereka dalam tempoh 60 hari cuti di Malaysia.
Along,76 (Kakak Abah)Sekarang Along sakit kuat. Tak boleh bangun dan tak berupaya nak bercakap. Dulu Along yang jaga aku masa kecil. Dari umur 4-17 tahun(itu yang aku ingat). Maklumlah adik beradik ramai dan rapat-rapat. Mak lahirkan kami adik beradik setahun seorang. Kebetulan Along tak ada anak, cuma ada seorang anak angkat yang sebaya dengan mak, jadi Along menumpang kasih anak saudara. Dijaganya aku macam anak sendiri. Kadang-kadang aku tinggal bersama-sama dengannya. Kenangan yang ada bersama-samanya, pergi menjual kuih-muih di ladang kelapa, sekolah dan kedai2 kopi. Bangun pagi2 jam pukul 4, dah mula bau kuih menusuk hidung. Along selalu bawa pegi jalan-jalan dan juga pergi kebun cari kelapa. Minyak masak ketika itu kami buat sendiri. Jadi merasa le mengupas/salai/mesin/masak santan sampai bertukar menjadi minyak. Mandi air telaga,makan pucuk paku merah, ikan talapia goreng cili katanya adalah kegemaran aku. Kadang2 bila aku tak ada Along cuba bawa adik-adik aku tinggal dengannya. Tapi mereka tak macam aku yang enjoy dengan life di situ. Jadi end up aku yang kerap tinggal bersama Along.
Sampai aku sekolah berasrama penuh dan universiti, separuh cuti aku dengan Along dan separuh lagi dengan mak sendiri. Tak tau lah perasaan mak macam mana. Sama ada dia kecil hati ke tidak. Tapi bila sekarang, aku dah tak boleh bahagikan cuti lagi. Masa bersama dengan mak sendiri pun tidak cukup. Sejak dari umur 12 tahun hingga kini kebanyakan masa berada di luar rumah(sekolah,universiti,berkahwin dan sekarang dah berhijrah).Lagipun Along sudah ada cucunya jugak. Tapi bila melihat Along tersenyum bila aku bersama keluarga menziarahinya hari itu, sebak juga rasa hati. Tidak tahu apa yang tersirat di hatinya bila dia memandang kosong sewaktu kami nak beredar meninggalkannya. Dari jauh aku tetap mendoakan jiwanya tenteram dan anak cucunya menjaga dengan baik sepertimana dia memelihara mereka sewaktu kecil. Aku juga berharap aku diberi peluang untuk menjaga abah dan mak andainya satu hari nanti mereka memerlukan aku.
Tok Su, 80+(Ibu saudara mak yang bongsu)
Kami menziarahi tok su. Tok Su orangnya kuat dan sihat. Cuma baru-baru ini dia diserang strok dan hilang daya ingatan. Keupayaannya untuk mengingati peristiwa yang lama masih kuat, tapi tentang perkara-perkara yang baru berlaku susah untuk dia ingati. Hasilnya, dia asyik mengulangi pertanyaan yang sama walaupun perkara itu baru sahaja diperjelaskan dalam 2 minit yang lalu.Apabila berbual dengannya dia asyik bercerita kisahnya berkisar peristiwa 40-60 tahun yang lampau. Walaupun demikian, alhamdulillah kesemua 8 0rang anaknya sabar melayani karenah ibu mereka. Mungkin kerana didikan yang diberi oleh arwah suaminya dan beliau juga seorang yang indah peribadinya. Anak-anaknya semua terpelajar dan berpangkat tinggi, tetapi tiada seorang pun yang bersifat keakuan malah sering berpakat adik-beradik. Malah, mak selalu menjadikan mereka sebagai inspirasi kepada kami supaya mencontohi muafakat yang diamalkan oleh keluarga tok su ini. Walaupun arwah suaminya merupakan bekas seorang menteri kabinet, tetapi keluarga ini hidup merendah diri dan sering berbuat amal jariah. Kediaman besar beliau sendiri dijadikan sekolah(Sekolah Menengah Al-Ulum, Bagan Datoh) untuk mendidik anak-anak tempatan yang berpotensi untuk pergi jauh dalam bidang pengajian Islam. Hasilnya ramai dari anak-anak lepasan sekolah ini berjaya menempatkan diri di Universiti Al-Azhar Mesir, Yarmouk Jordan, Taiba Madinah dsbnya. Iktibar dari ziarah ini, aku harap aku dapat buat sesuatu sepertinya walaupun tidak sama seperti apa yang beliau lakukan.
Mak Andak(kakak Mak)
Aku akui aku memang rapat dengan semua ibu saudara tak kira sebelah abah atau sebelah mak. Anak saudara macam anak sendiri. Kalau kenduri-kendara aku mesti pergi 2 minggu awal untuk membantu apa yang patut. Hijrah aku ke KSA rupa-rupanya tidak meninggalkan respons positif dari semua.Terutama Mak Andak. Dari awal dia tidak setuju dengan mak kerana membenarkan aku pergi. Katanya Malaysia hilang tenaga mahir. Aku tak hairan, mak Andak memang orangnya patriotik. Tapi, mak orang yang positif, dia tetap menyokong. Cuti kali ini aku pergi menziarahinya lagi. Dia tahu tempoh kontrak 2 tahun sudah tamat. Diujakan pertanyaan ini kepadaku "Seronok ka duduk kat sana? Bila nak habis kontrak" , aku jawab "Seronok, sambil tersenyum. Nak sambung la selagi boleh sambung". Dia menyambung lagi sebab tidak puas hati dengan jawapan tadi." Apa yang seronok sangat? Berapa lama lagi nak duduk? Awat ... depa kat sini tak bagi cukup kat hang ka..?" Tu dia bertubi-tubi soalan dia. Aku terus senyum...lalu berkata " Mak kata boleh." Mak juga menyampuk " Mak dia pun kata boleh.. baguih.."Lantas Mak Andak menarik muka, tanda tidak puas hati " Ish , lantak hangpa la..Kalau lagu tu aku pun tak mau ambik tau la" Kami pun memujuk le supaya tidak terus risau.. kerana menurut mak, Mak Andak orangnya cukup takut dengan dunia luar. Masa waktu dia muda dahulu, apabila siaran berita ke udara dari corong radio, dia mesti cepat-cepat tutup radio tu. Dia enggan dengar berita tentang peperangan, pergaduhan dan suasana kucar-kacir. Rumah tok Wan pernah menjadi saksi sejarah apabila Shamsiah Fakeh ditangkap dan menyerah diri di laman rumah tersebut. Kisah Pak Teh menyorok di dalam parit sewaktu perintah berkurung dan askar Iban yang menjadi peronda sering menjadi bicara dia. Baginya Malaysia mungkin sudah merdeka dan selamat. Tapi dunia luar baginya tidak selamat..Dia lebih selesa di negara sendiri..bak kata pepatah " hujan emas negeri orang ,hujan batu negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri". Tapi , bagi kami generasi baru... "kita kutip dulu lah emas baru balik negeri sendiri".
Heheheh... itulah antara secebis kisah sewaktu berada di Malaysia.
Disebaliknya..........
Malaysia sekarang dihujani batu-batu yang meruntuh moral anak-anak yang membesar. Ngeri rasanya dalam 2 bulan di Malaysia, telefon pra-bayar kami asyik dihujani sms berbau lucah dan clip video murahan semurah 50-70 sen dan tidak diketahui pengirimnya. Imagine, nombor kami itu kalau dimiliki oleh budak sekolah. Tidak mustahil. Sumber porno merata-rata tanpa kawalan pihak berwajib. Ini tidak termasuk kes kehilangan anak yang makin menjadi-jadi. Sewaktu cuti tempoh-hari, seorang anak guru, jiran dan kenalan abah,berumur 14 tahun, perempuan, hilang dari rumah sewaktu ke sekolah.
Tidak cukup anak-anak. Peribadi individu yang dewasa sekarang juga amat diragui. Bila hidup asyik disogok dengan sumber lucah, media tanpa kawalan penuh hiburan, kedai-kedai buku mamak menjual bahan bacaan ringan tanpa ada rasa tanggungjawab, kedai-kedai ubat merata-rata mempromosi ubat penggalak syahwat, seolah-olah kritikal benar penduduk Malaysia dengan masalah ini sehingga terdapat penyelesainya boleh didapati di mana-mana. Bukan sekadar itu, malah makanan + minuman harian pun turut ditambah nilai.
Satu masa dahulu, pemandu bas sekolah, jaga sekolah, jiran sebelah, guru sekolah, saudara sepupu, kawan sekelas mungkin tidak pernah terlintas di dalam kepala untuk berlaku tidak sopan dengan anak kita. Semua yang diberi tanggungjawab, lazimnya setia dengan tanggungjawab yang diberikan. Tetapi sekarang yang berpakaian seragam sendiri pun belum tentu lagi jujur dalam melaksanakan amanah yang diberikan.
Inilah yang menjadi antara faktor utama penghijrahan kami disini. Mencari persekitaran yang lebih selamat untuk anak-anak yang bakal menjadi generasi akan datang. Lagipun, hidup dan mati di mana-mana sama sahaja. Jika ada pilihan yang lebih baik untuk hidup sementara ini kenapa kita tidak pilih perkara yang baik itu....
"Hope Allah will guide us in this matter. Matilah kami dalam Iman dan Islam. Lead us to Husnul Khatimah and avoid us from Su'ul Khatimah."
1 comment:
Di mana saja, hanya melalui dakwah manusia akan bertemu jalan lurus & membaiki kehidupannya.
Mari kita sama2 berDAKWAH.
Post a Comment